BERITA TERKINI SMK TATAU

Sejarah SMK Tatau

Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau ditubuhkan pada pertengahan tahun 1970an.Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau pada mulanya bertapak di Sekolah Kebangsaan Bintulu dan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sebauh, seterusnya ke Sekolah Kebangsaan Tatau di Kuala Annau dan kini bertapak tetap di pekan Tatau. Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau telah dirasmikan oleh Y.A.B. Datu Patinggi Tan Seri Haji Abdul Taib Mahmud, D.P.,S.P.M.J.P.G. D.K.K, KT, W.E (THAILAND), K.O.U. (KOREA), K.E.P.N. (INDONESIA) selaku Ketua Menteri Sarawak pada hari ini, pada 14 Syaaban 1487 bersamaan 13 April 1987.

Sebenarnya Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau telah dirancang lebih awal pembinaannya berbanding dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Sebauh. Adalah agak sukar bagi pelajar dari Tatau untuk melanjutkan pelajaran ke Bintulu memandangkan kemudahan pengangkutan dan jalan raya yang serba kekurangan. Ditambah pula dengan keadaan hidup yang serba miskin dan satu-satunya jalan untuk sampai ke Bintulu adalah melalui laut. Walau bagaimanapun, apabila musim tengkujuh pada awal awal tahun maka, pelajar selalunya akan melaporkan diri lewat kerana tiada bot yang sanggup mengharungi ombak besar ke Bintulu. Malah ada juga ibu bapa yang memberanikan diri menghantar anak mereka mengharungi ombak menggunakan bot panjang. Kadangkala ada juga berlaku kemalangan yang boleh menyebabkan maut.

Ibu bapa yang tidak mahu mengambil risiko di laut membawa anak mereka berjalan kaki ke Bintulu, maka sudah tentu mengambil masa yang begitu lama iaitu kira-kira sehari suntuk atau dua hari dan amat meletihkan. Oleh sebab kesusahan ini maka ketua-ketua masyarakat dan kerajaan telah merancang perlunya pembinaan sebuah sekolah menengah di Tatau. Tempoh pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau mengambil masa kira-kira 5 tahun dan siap pada tahun 1983 dan mula beroperasi pada bulan jun 1986.

Kini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau merupakan sekolah yang maju dari segi akademik, kokurikulum dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti telefon awam, makmal komputer serta asrama. Walaupun Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau terletak di luar bandar, Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau telah melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti serta pernah mengharumkan nama sekolah di rantau Malaysia. Di samping itu, keputusan peperiksaan awam Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau sentiasa menunjukkan peningkatan yang amat menggalakkan. Malah Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau pernah melahirkan seorang pelajar yang berjaya mendapat 9A1 dalam peperiksaan SPM iaitu Anthoni Yii pada tahun 2000.